AKTIVITI MURID

Friday 2 December 2011

TUGASAN 1

SOALAN 1

Menganalisis isu semasa dalam pembelajaran berasaskan elektronik dan web.
1.1       Kaedah
            Menjalankan tinjauan di sekolah/institusi pendidikan.
a)         Mengenalpasti jenis media pengajaran yang kerap digunakan mengikut tahap dan mata pelajaran
            b)         Mengenalpasti potensi media pengajaran berasaskan elektronik
c)         Mengenalpasti halangan penggunaan media pengajaran berasaskan elektronik.
            d)         Mencadngkan penambahbaikan.

Pengenalan
Komputer adalah alat elektronik yang kompleks dan mempunyai banyak kelebihan. Ia sesuai untuk dijadikan alat bagi membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ia berkemampuan menerima dan memproses data. Komputer juga membantu pengajar mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang berkesan jika digunakan dengan sistematik. Pengajaran yang disertakan dengan alat bantu mengajar terkini akan dapat menambah minat pelajar mempelajari sesuatu bidang pelajaran. Di samping itu, jika komputer dapat digunakan secara sistematik dan berkesan oleh guru, ia mampu menyelesaikan sebarang masalah pengajaran dan pembelajaran. Ini selaras dengan pandangan Heinich (1996) yang menyatakan bahawa komputer dapat memperkayakan teknik pengajaran. Menurut Merrill (1986) pula, komputer adalah mesin memproses maklumat yang perlu diberikan arahan oleh penggunanya. Arahan ini boleh disampaikan menerusi peralatan input seperti papan kekunci, pengimbas (scanner), kad, joystick, tetikus, pad grafik dan unit pemprosesan pusat (CPU).

Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia melihat ICT sebagai suatu alat untuk merevolusikan pembelajaran, memperkayakan kurikulum, memperkembangkan pedagogi, menstrukturkan organisasi sekolah dengan lebih berkesan, melahirkan hubungan yang lebih kuat di antara sekolah-sekolah dan masyarakat, dan meningkatkan penguasaan pelajar. Konsep ICT dalam pendidikan dari kaca mata KPM merangkumi 3 polisi utama:

i.          ICT untuk semua pelajar, bermaksud bahawa ICT digunakan sebagai sesuatu yang
boleh mengurangkan jurang digital antara sekolah.
ii.         Fungsi dan peranan ICT di dalam pendidikan adalah sebagai suatu alat pengajaran dan pembelajaran, sebagai sebahagian daripada subjek tersebut, dan sebagai sesuatu subjek tersendiri.
iii.        Menggunakan ICT untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan  sesuatu sistem pengurusan.
Selain daripada bidang pendidikan, perkembangan persekitaran global telah memberi kesan besar kepada usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan yang berdaya saing. Memandangkan ICT merupakan penentu utama dalam proses pembangunan bagi meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai, usaha akan dipergiat untuk mengarusperdanakan akses kepada perkhidmatan dan kemudahan ICT secara meluas serta menggalakkan penerimaan dan penggunaan ICT secara menyeluruh dalam semua aspek kehidupan.

Kaedah
Analisis isu semasa dalam pembelajaran berasaskan elektronik dan web ini dijalankan di Sekolah Kebangsaan Sunggala, Port Dickson.  Sekolah ini merupakan sekolah di mana saya bertugas.  Saya menggunakan borang soal selidik SSQS sedia ada yang telah diisi semasa kajian secara on-line dibuat di sekolah yang mana semua borang ini difikirkan relaven digunakan kerana ada di antara item soalan yang disediakan bersesuaian dengan tugasan ini.

Pengumpulan dan penganalisian data
Pengumpulan data - diperolehi daripada hasil pemerhatian dan melalui borang kaji selidik
Penganalisian data - Dalam borang soal selidik,terkandung tema tertentu brkaitan ICT.  Saya hanya mengambil item berkaitan persoalan yang akan dibincangkan mengikut tugasan yang diberikan. 


Dapatan  kajian
  1. Memberi gambaran tentang  penggunaan media pengajaran yang kerap digunakan mengikut tahap dan mata pelajaran
2.      Mengenalpasti potensi media pengajaran berasaskan elektronik
3.      Mengenalpasti halangan penggunaan media pengajaran berasaskan elektronik.
4.      Mencadngkan penambahbaikan.

Tinjauan di sekolah/institusi pendidikan.
Edaran soal selidik hanya kepada murid-murid Tahap 2 secara rawak.  Mengikut kehendak Borang soal selidik SSQS, item soalan mengikut pembolehubah murid, guru dan mata pelajaran yang berkaitan.  Menggunakan soal selidik yang sedia ada ini,  saya hanya memberi fokus kepada tahap penggunaan dan kebolehan murid terhadap media sahaja.

a)         Mengenalpasti jenis media pengajaran yang kerap digunakan mengikut tahap dan mata pelajaran
Didapati  93% daripada responden boleh menggunakan komputer dan peralatan yang disediakan di dalam makmal komputer.  Jika dilihat kepada kepada kebolehan menggunakan aplikasi, mereka sebanyak  31%  tidak tahu menggunakan aplikasi Microsoft Excel.  Mereka lebih didedahkan kepada aplikasi powerpoint dan word kerana ia lebih dapat disesuaikan untuk semua mata pelajaran semasa membuat tugasan

Media berunsur laman web yang kerap digunakan ialah portal pendidikan manakala  bahan courseware pula seperti   perisian kursus (MyCd, CDROM,       CDRI) dan lain-lain.  Saya akui bahawa di makmal ini terdapat banyak perisian yang telah dibekalkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan sebagai bahan sokongan untuk pengajaran dan pembelajaran.  Walaupun PPSMI bakal dimansuhkan tetapi pembangunan menyediakan perisian kursus yang telah  dibekalkan masih digunakan oleh guru-guru semasa pengajaran dan pembelajaran.

Penggunaan laman-laman web juga menjadi perhatian guru dan murid.  Eduwebtv “Pendidikan Digital Untuk Semua”  merupakan portal pendidikan interaktif berasaskan vedio yang boelh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Mempunyai 7 saluran iaitu Berita, Akademik, Rencana, Wawancara, TV Pendidikan, Interaktif dan Siaran Langsung. Untuk menggunakan laman ini guru perlu menggunakan kata laluan.  http://eduwebtv.com/v2/home/

Selain daripada laman web itu, Portal Pendidikan Online http://www.tutor.ebays.my/  - Skor A juga menjadi pilihan murid.  Sekolah SK Sungala telah mendapat sumbangan dari Yayasan Port Dickson untuk mengggunakan portal ini sebagai salah satu daripada media pengajaran dan pembelajaran.  Sebanyak 5 kata laluan telah diberikan kepada sekolah secara percuma.  Guru yang dipertanggungjawabkan menyusun jadual supaya murid dapat menggunakan laman pembelajaran ini secara bergilir mengikut mata pelajaran dan masa yang telah ditetapkan oleh guru.  Apa yang menarik ialah guru dapat memantau tahap penggunaan terhadap setiap pelajar dalam setiap mata pelajaran. Selain itu guru juga dapat melihat tahap pencapaian murid dari semasa ke semasa.  

b)         Potensi media pengajaran berasaskan elektronik

Proses pengajaran dan pembelajaran telah banyak berubah dan mengalami evolusinya sendiri. Jika dahulunya penggunaan lisan dan tulisan sudah menjadi kebiasaan dalam pengajaran, kini teknologi telah menjadi pemacu dalam penggunaan alatan yang lebih canggih sepertipenggunaan komputer, video, dan pelbagai peralatan lain lagi yang menggabungkan elemen visual, audio dan teks. Penggunaan alat dan bahan bantu mengajar berasaskan multimedia di kalangan guru dan pengajar di Malaysia juga semakin meluas.

Ramai pengajar masa kini juga lebih suka memilih untuk menggunakan kemudahan teknologi berbanding pengajaran secara konvensional.  Sebagai contoh dalam bidang teknikal dan vokasional,  penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi juga kerap digunakan bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran (seperti yang telah kita lihat bersama pada persembahan pertama rakan kita dalam blognya yang lalu). Perisian Multimedia merupakan satu altenatif baru ke arah mempelbagaikan media pengajaran serta memberi pendedahan kepada pelajar tentang kecanggihan sistem multimedia masa kini (Ismail, 2002). Menurut Faizah et.al (2005), elemen-elemen yang terdapat dalam sistem Multimedia dapat menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih menarik, berkesan, memberangsangkan serta dapat menyesuaikan dengan keperluan individu pelajar. Di samping menambahkan bahan rujukan bagi pelajar-pelajar, ia juga boleh dijadikan sebagai Alat Bahan Bantu Mengajar (ABBM). Menurut McEwan dan Cairncross (2004), multimedia mempunyai potensi untuk melahirkan sumber pembelajaran yang tinggi kualitinya. Kemampuan elemen-elemen multimedia saling berhubung boleh digunakan untuk menyampaikan maklumat yang diberi dan pengguna boleh belajar melalui saluran media serta boleh menjimatkan masa. Penggunaan koswer dalam sebagai alat dan bahan bantu mengajar akan mempengaruhi kemampuan pelajar menguasai setiap topik dalam subjek.

c)         Mengenalpasti halangan penggunaan media pengajaran berasaskan elektronik.

Halangan teknologikal
Halangan ini merujuk kepada halangan mengenai teknologi pembelajaran. Ia merangkumi masalah rangkaian internet yang sangat perlahan, pengaksesan e-pembelajaran dan kos yang tinggi dalam perkakasan, perisian, pembaikian, atau servis komputer.
. 
Sekolah ini hanya mempunyai 1 makmal kumputer dan dibekalkan dengan 20 set komputer, 1 server dengan rangkaian internet, 1 pencetak, 1 pengimbas, alat-alat peranti seperti headphone, kamera serta lain-lain sebagai pelengkap bahan media untuk membantu pengajaran dan pembelajaran.  Terkini sekolah telah dibekalkan set TV LCD yang canggih untuk kegunaan murid dan guru dalam proses pengajaran pembelajaran.  Ia dibekalkan pada tahun 2003, sehingga kini hanya 5 set komputer sahaja yang boleh  digunakan.

Ada ketikanya komputer tidak mampu mengakses internet dan masalah capaian yang sangat perlahan.  Tidak ada juruteknik yang ditugaskan untuk menjaga kualiti teknologi, kurang bantuan teknikal dari pihak-pihak tertentu. Sepanjang tempoh saya diamanahkan sebagai penyelaras makmal ini bermula September 2010, tidak ada senggaraan peralatan dibuat melainkan ia terpaksa saya lakukan sendiri dengan berbekalkan sedikit pengetahuan mengenai ICT.

Halangan Personaliti
Ia berkaitan dengan sikap murid dan guru terhadap  pembelajaran.  Gaya pembelajaran adalah dikategorikan di bawah halangan personaliti. Keselesaan murid terhadap teknologi dan menyesuaikan e-pembelajaran sebagai gaya pembelajarannya bergantung kepada pendekatan, kaedah, keselesaan tempat dan peralatan yang disediakan.  Guru perlu kreatif untuk memikirkan keselesaan murid supaya pemngajaran dan pembelajaran berasaskan elektronik dan web ini dapat menarik minat mereka.

Halangan Situasi
Halangan situasi adalah dikaitan dengan situasi atau persekitaran seseorang itu berada (Schilke, 2001). Item untuk halangan situasi termasuk “Terlalu sibuk dengan kerja lain, gangguan daripada kerja lain, hal rumah dan tempat belajar, kekurangan masa untuk belajar atas talian dan faktor pengurusan masa.” (Berge, 2001; Garland, 1993; Kramarae, 2001; O’Malley & McCraw, 1999; Schilke, 2001). Pelajar bukan sahaja memerlukan sokongan tetapi juga memerlukan tempat untuk belajar tanpa gangguan. Ini menunjukkan persekitaran untuk pelajar boleh dikira sebagai halangan dalam proses pembelajaran.

Halangan Institusi
Halangan institusi mengambil kira dua aspek iaitu pengajar dan reka bentuk bahan pengajaran bagi e-pembelajaran (Schilke, 2001). Sokongan organisasi dan reka bentuk pengajaran merupakan faktor yang penting dalam e-pembelajaran. 

Tidak ada lagi peruntukan kewangan untuk makmal komputer di sekolah merupakan salah satu sebab mengapa penggunaan bahan teknologi kurang mendapat sambutan dari guru-guru.  Guru yang proaktif dan sentiasa memikirkan kepentingan murid menikmati peluang teknologi akan berusaha menggunakan komputer riba sendiri.  Bahan media pengajaran dibina sendiri dan mereka dilihat menggunakan ruang makmal yang selesa walaupun peralatan yang dibekalkan kurang berfungsi atau tidak dapat berfungsi dengan baik.  Sekiranya kecekapan diri pengguna terhadap e-pembelajaran adalah tinggi maka halangan-halangan yang akan dihadapi dalam penggunaan e-pembelajaran dapat dikurangkan.

d)         Cadngan  penambahbaikan.

 Penggunaan Makmal komputer
Semua guru wajar membawa murid ke makmal komputer mengikut jadual yang telah ditetapkan.  Persediaan awal mesti dibuat sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran supaya masa dapat digunakan dengan maksima tanpa melibatkan aktiviti “setting”  seperti mencari bahan sama ada bahan perisian mahupun bahan dari laman-laman web tertentu.

Penggunaan Wi-fi

Capaian wifi diperluaskan kepada suasana persekitaran pembelajaran pebelajaran di sekolah. Buat masa ini capaian Wifi hanya dapat diakses di bilik guru, pejabat dan perpustakaan sahaja. 

Komputer dilengkapi dengan perisian(software)
Komputer yang bakal dibekalkan dilengkapkan  dengan subjek-subjek yang terdapat dalam pakej pembelajaran.  Hal ini sebagai  perisian ini sebagai rujukan tambahan bagi pembelajaran murid.

Komputer-komputer mengikut  mengikut keperluan semasa

Komputer yang lama dan tidak serasi lagi dengan perisian baru dan terkini perlu ditukar atau pertingkatkan sistem operasinya /‘upgrade’. Selain itu jumlah set komputer perlu ditambah untuk kemudahan dan keselesaan murid.

Kemudahan Peranti
Kelengkapan seperti pencetak dan pengimbas harus disediakan bertujuan memudahkan pencetakan hasil kerja murid. Hal ini hasil kerja murid dapat dikumpul dari semasa ke semasa sebagai salah satu daripada motivasi dan daya penarik untuk murid mengunakkan kemudahan  bahan elektronik, web dan sebagainya di makmal ini.

Rumusan
Kekangan yang dihadapi oleh guru dalam melaksanakan pengajaran berbantukan  bahan pengajaran berasaskan  teknologi komputer  sering dijadikan tajuk utama dalam pendidikan. Teknologi sentiasa  berubah, oleh yang demikian para pendidik harus bersedia menyahut cabaran global  dan memerlukan kesediaan  untuk membuat persediaan pengajaran, dan sebagainya boleh memberi kesan terhadap pengajaran. Dalam hal ini, perancangan dan persediaan pihak pengurusan  sekolah dalam menyediakan guru-guru harus ada agar mereka benar-benar menguasai kemahiran tersebut perlu dilakukan secara profesional.

Masalah dalam penggunaan komputer perlu dihadapi dengan memberikan penekanan kepada penggunaan ICT dalam pengajaran sebagaimana yang ditekankan oleh Kementerian Pelajaran. Sukatan pelajaran  perlu dirujuk untuk melihat keperluan menggunakan komputer dalam pengajaran. Aspek pengajaran perlu diberikan perhatian dengan menekankan penguasaan komputer dalam pengajaran dan pebelajaran  menggunakan bahan berasaskan letronik dan web untuk  meningkatkan lagi keupayaan pelajar dalam menguasai pembelajaran  dengan lebih baik. Oleh itu, aspek penyediaan bahan pembelajaran interaktif, penyediaan bahan menggunakan kemahiran ICT dan penggunaan internet dalam pengajaran serta penyediaan teknologi yang sesuai dengan keperluan semasa perlu diberikan perhatian.  Segala permasalahan dan keluhan guru-guru harus diambil kira dan dipertimbangkan dalam  usaha menyelesaikan masalah dan juga untuk tujuan mempertingkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.


No comments:

Post a Comment